TANGGUNGJAWAB PEMUDA ISLAM HARI INI(vol 1)


oleh:Abul A'la Al-Maududi


PENGENALAN ABUL A’LA AL-MAUDUDI

Beliau dilahirkan di Aurangbad ( Hyderabad ) pada 25 September 1903M. Pada mulanya ia bertugas sebagai wartawan muda yang sangat aktif. Ketika baru berusia 17 tahun, beliau telah pun menjadi ketua akhbar harian “Taj“ dan kemudian menjadi ketua 'Al-Jami'ah, salah satu akhbar harian Islam yang paling berpengaruh dan dikenali pada awal kurun ke 20 di India. Pada ketika usianya meningkat 26 tahun (1929M) beliau telah menunjukkan kebolehan dan kemampuannya dalam Ilmu Islam iaitu dengan menyumbangkan sebuah karya ilmiah yang terkenal 'Al-Jihad fil Islam' yang merupakan satu-satunya buku yang penting sebagai kajian danid rujukan dalam bidang ini. Dan pada 1932M beliau telah berjaya menerbitkan sebuah majalah buletin yang bernama “Tarjuman Al-Quran”. Majalah ini telah memainkan peranan yang hebat sekali dalam membangkitkan semangat perjuangan Islam dalam usaha menentang penjajah dan pemerintahpemerintah Taghut - di Benua Kecil India - Pakistan khususnya dan di dunia Islam umumnya.



Dalam tahun 1941M, dengan usahanya yang gigih, beliau telah mendirikan satu gerakan Islam yang bernama 'Al-Jamaat Islami' yang hingga kini terkenal sebagai satu-satunya gerakan yang sangat berpengaruh dan kuat berpegang kepada akidah Islam. Pada tahun 1948M (ketika Pakistan diisytiharkan merdeka dari penjajah Inggeris), beliau telah ditangkap, iaitu setelah dikeluarkan buku beliau yang bertajuk 'Undang-undang dan Perlembagaan Islam' yang memberikan kritikan panas terhadap pemerintahan yang tidak mahu mengembalikan undangundang Islam sebagai dasar pemerintahan negara. Antara isinya kandungannya tertulis :
'Umat Islam di Pakistan pada keseluruhannya dijiwai oleh semangat dan roh Islam. Mereka bercita-cita supaya negara ini benar-benar dijalankan dengan undang-undang Islam, tetapi sebaliknya pemerintah yang menerima kekuasaan politik dari penjajah Inggeris telah mabuk dengan fikiran-fikiran dan kebudayaan sekularisma barat…….'

Setelah 20 tahun lamanya didalam tahanan, maka akhirnya beliau telah dibebaskan.Menjelang tahun 1953M, beliau telah ditangkap lagi kerana kegiatan dakwah yang dipandang bahaya oleh pemerintah. Kali ini beliau dijatuhkan hukuman mati, tetapi beliau diberi peluang supaya membuat rayuan dan meminta kasihan belas dari pemerintah.
Beliau dengan tegasnya berkata :

“..saya lebih baik menyerah jiwa raga saya kepada Allah daripada mengemis kepada seseorang pemerintah yang zalim. Jika memang Tuhan menghendaki, maka dengan ikhlas saya menyerahkan jiwa raga saya ini. Tetapi jika bukan dengan kehendakNya, apa pun yang diperbuat, mereka tak akan dapat melakukan sesuatu pun atas diriku..!”.

Dan memang benar, sesudah 26 bulan berada dalam tahanan, menjelang tahun 1955M beliau telah dibebaskan atas keputusan Makamah Tinggi. Beliau kembali bergiat dan terus bergiat dalam mempertahankan kesucian Agama Allah dari pencabulan manusia dan pemerintahan
taghut. Dalam meneruskan perjuangan suci, beliau telah menyumbangkan banyak buah karya kepada dunia Islam. Karya-karya atau buku-buku beliau tak kurang dari 60 buah, yang menjelaskan tentang Islam dari berbagai aspek.Buku yang berada pada tangan saudara ini ialah hasil dari ceramah beliau yang disampaikan diMakkah pada musim Haji tahun 1381H (Mei 1962) yang kemudiannya dibukukan dalam bahasaArab dengan tajuknya “ واجب الشباب المسلم اليوم ” - Tanggungjawab Pemuda Islam Hari ini.


REBUTLAH PELUANG DENGAN MENYEBARKAN ISLAM


Saudara-saudara yang mulia!!!Di saat yang bertuah ini, sukacita saya membayangkan kesyukuran dan perasaan puashati saya dengan peluang ini, di mana diberi kesempatan untuk saya menyampaikan ucapan yang serba kekurangan di hadapan kumpulan yang baik yang terdiri dari pemuda-pemuda yang beriman serta ikhlas yang datang dari pelusuk alam untuk mengunjungi negara yang aman makmur ini. Mereka datang kerana menyebutkan Nama Allah di hari-hari yang tertentu (musim haji) dan kerana menyampaikan perkara yang memberi manfaat pada mereka. Atau dengan kata lain kerana menghadiri perhimpunan agong sebagai persidangan tahunan Islam. Tujuan ucapan saya ini ialah untuk memperkatakan kepada pemuda mukmin secara menyeluruh tentang perjalanan dakwah Islamiah sebagaimana yang di kehendaki oleh keadaan dunia Islam sekarang. Saya akan mengambil kesempatan yang berharga ini untuk menyatakan sesuatu yang tersembunyi di lubuk saya dan terpendam di sanubari saya. Agar saudara-saudara semua dapat mengetahui dengan nyata dan terang satu persatu tentang perkara-perkara yang memberi manfaat kepada Islam dan umatnya. Mereka yang hadir ini hendaklah memberitahu kepada yang tidak hadir, kerana kemungkinan di masa akan datang sukar bagi saya untuk mendapat peluang yang baik seperti pada hari ini dan ditempat yang mulia ini. Saya berdoa agar Allah berikan taufik kepada saya dan kepada saudara-saudara untuk mendapat keredhaanNya dan ia menjadikan segala amalan kita ikhlas kepadaNya.

KEADAAN DUNIA ISLAM DAN KEPENTINGANNYA


Saudara-saudara yang mulia !!
Perkara yang pertama yang harus anda semua ketahui ialah Dunia Islam terbahagi kepada dua jenis:

Jenis pertama :Negara di mana orang-orang Islam merupakan kumpulan minoriti dan tampuk pemerintahannya berada di tangan orang lain (bukan Islam).

Jenis kedua :Negara yang majoriti (sebahagian besar) penduduknya terdiri dari orang-orang Islam dan mereka sendiri menerajui pemerintahan.

Tidak perlu dibincangkan lagi bahawa kelompok yang kedua ini lebih penting dari kelompok yang pertama mengikut ukuran biasa. Kerana nasib umat Islam di dunia ini benar-benar bergantung di atas maju atau mundurnya kelompok kedua ini, berdasarkan sistem yang dipilih untuk diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat. Ini bukan bererti saya menafikan kepentingan kelompok yang pertama, malahan saya memberi perhatian khusus untuknya, kerana dengan wujudnya orang-orang yang beriman dengan satu akidah, satu fikrah dan satu sistem hidup yang berada di segenap penjuru alam ini, yang bilangan mereka ratusan ribu, malah lebih banyak, itulah sebenarnya sebesar-besar wasilah dan sekuat-kuat pendorong untuk membakar semangat orang-orang yang beriman dengan akidah, fikrah dan sistem tadi supaya hidup secara praktikal dan meninggikan panjinya. Tetapi apabila akidah, pemikiran dan dakwah tadi telah kalah dalam kandang sendiri atau kedudukan terhina maka sudah terang orang-orang mukmin yang bertaburan disana sini di segenap pelusuk alam tidak akan di tanggung oleh bumi dan diteduhi oleh langit hingga sesuatu masa yang tidak dapat ditentukan, dan ianya bukan pendek pula.


MASA DEPAN NEGARA ISLAM IALAH MASA DEPAN UMATNYA


Oleh kerana itu tidaklah salah kalau saya katakan:
Bahawa masa depan yang akan dihadapi oleh umat Islam di dunia ini adalah terletak diatas bahu negara-negara Islam itu sendiri. Kawasan negerinya luas, dari Indonesia dan Malaysia di sebelah timur hinggalah ke Morokko dan Nigeria di sebelah barat. Ini adalah berdasarkan fikiran yang logik dan sebab-sebab yang boleh dilihat. Ada pun jika di sana jika berlaku perkara yang menyalahi adat, yang luar dari batasan kekuasaan kita maka itu bukanlah perkara yang mustahil, kerana Allah berkuasa memancarkan air dari batu yang keras, berkuasa menukar padang pasir yang kering tandus menjadi kebun-kebun yang indah, segar bugar, suka mata memandang. Maha Suci Allah Tuhan memiliki segala sesuatu dan Dia Maha berkuasa atas segalanya2. Mengikut apa yang kita bayangkan tadi bila membicarakan tentang masa depan umat Islam, kita katakan: bahawa masa depan mereka bergantung dengan masa depan negara ummat Islam sendiri, samada baik atau buruknya.

Sekarang kita ingin kemukakan:
apakah keadaan yang sedang berlaku di negara-negara ummat Islam hari ini ?
apakah sebab dan faktornya ?
dan apakah cara dan metod yang mesti diikuti oleh orang-orang yang berkerja keras untuk membela nasib umat Islam ?

PENJAJAHAN TANAH AIR BERUBAH KEARAH PENJAJAHAN FIKIRAN


Di antara perkara yang diketahui oleh kita semua wahai saudara-saudaraku bahawa pada akhir-akhir ini negara Ummat Islam telah jatuh ke dalam genggaman penjajah setelah ianya ditimpa oleh kemerosotan fikiran, kebekuan akal, keruntuhan moral dan kekacauan politik.

Pada abad ke 18, penjajah telah memacakkan tongkat penjajahan mereka di negara-negara
Islam dan dapat mencapai maksudnya pada awal abad ini. Penjajah telah dapat menguasai kebanyakan negara-negara Islam kecuali sedikit. Negara yang tidak dijajah secara langsung ini pula sentiasa menerima kekalahan demi kekalahan menyebabkan ianya tidak berbeza dari segi kehinaan dibanding dengan suasana yang menimpa negara-negara Islam yang dijajah penuh.. Mereka merasa serba kekurangan dan lebih gerun kepada penjajah dari negara-negara yang kemerdekaannya dirampas sepenuhnya. Seburuk-buruk kesan yang kita terima dari serangan penjajahan barat ini ialah jatuhnya kita ke dalam lembah kehinaan yang amat ketara dari sudut kelemahan fikiran, keruntuhan moral dan peniruan kebudayaan barat.

To be continue....

0 comments: